Jumaat, 21 Januari 2011

Dari Daratan Ke Lautan : TEKAD

Sedutan episod lepas : Alangkah terkejutnya si pendayung sampan apabila dia pergi menziarahi sahabatnya itu dan mendapati.....



Bahawa sahabatnya itu tidak mahu berjumpa dengannya. Si pendayung berasa sangat pelik.


“Apa salahku sehingga dia langsung tidak mahu keluar dan berjumpa denganku..?” bisik hati kecil si pendayung sampan. Dia mula mengingat kembali kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini. Sepanjang ingatannya, tiada apa yang tidak kena berlaku antara mereka. Segalanya berlangsung dengan baik cuma sejak seminggu yang lalu, sahabatnya itu sudah tidak turun ke laut dan seperti cuba untuk menyembunyikan sesuatu.

Untuk mengelakkan masalah hati yang berlarutan, si pendayung sampan tetap cuba memujuk sahabatnya ini. Hampir setiap hari juga mereka bertujuh melawat ke rumahnya tetapi sahabatnya ini tetap enggan berjumpa dengan mereka. Sehinggalah pada suatu hari, berkat kesabaran dan sayangnya mereka pada ukhuwwah dan persahabatan yang telah lama terbina, akhirnya dibukakan pintu hati sahabat mereka ini untuk berjumpa dengan mereka bertujuh. Lalu, diceritakan satu persatu masalah dan konflik dalaman yang menimpa dirinya.

Rupa-rupanya, sahabat ini sudah tidak mahu turun ke laut kerana dia sudah letih dan takut berhadapan dengan risiko. Dia juga seakan-akan sudah berputus asa dan mahu berhenti daripada meneruskan pekerjaan warisan kampungnya itu. Namun, apalah gunanya ada sahabat tetapi tidak memainkan peranan sebaiknya. Di waktu kita senang dia ada, di waktu susah juga dia sentiasa ada untuk menyenangkan kita. Itulah baru namanya sahabat yang sejati. Dan itulah yang dilakukan oleh tujuh orang sahabat ini. Mereka tidak berhenti memberi nasihat dan motivasi pada sahabat mereka dan terus memberikan kata –kata perangsang dan semangat seperti ,

“Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan di sini, di mana lagi? Ayuh, sahabatku. Jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah. Rahmat Allah tu kan Maha Luas. Selua-luas lautan yang kita redahi setiap hari, luas lagi rahmat dan kasih sayang Allah pada kita...”

Begitulah mereka lapan bersahabat, sentiasa nasihat-menasihati dan berpesan-pesan ke arah kebaikan dan jalan kebenaran.

Pada suatu pagi, seperti pagi-pagi yang biasa, mereka akan turun ke laut bersama-sama. Bezanya pada hari itu, si pendayung sampan tidak muncul-muncul juga, walhal dialah yang selalunya tiba awal di tepi pantai.

“Dia sakit barangkali. Tak mengapa, hari ni kita upah orang lain untuk membawa kita ke tengah laut..” kata si ketua.

Setibanya mereka di tempat yang telah ditetapkan dalam perancangan, mereka mula mengambil kedudukan masing-masing dan mula menyelamkan diri. Sedang asyik mereka menyelam dan berenang mencari mutiara, alangkah terkejutnya mereka dengan apa yang sedang mereka saksikan. Sungguh mereka tidak pernah terlintas dan menyangka apabila mereka melihat sahabat mereka si pendayung sampan yang mereka sangkakan sedang sakit, rupa-rupanya sedang berenang dan menyelam bersama-sama mereka mencari mutiara.

Mereka yang lain sangat gembira dan teruja melihat si pendayung sampan sudah tidak duduk lagi dalam sampan, tetapi turut turun ke dalam laut bersama-sama mereka. Dalam kegembiraan dan semangat yang berkobar-kobar, mereka meneruskan misi yang belum selesai. Apabila sudah selesai dan tiba di daratan, salah seorang daripada mereka memulakan perbualan,

“Kalau si pendayung sampan pun sudah turun ke laut bersama-sama kita, siapa pula yang akan mendayung dan mengahantar kita ke tengah laut selepas ini..?”

Sambil tersenyum dengan penuh makna, si pendayung sampan menjawab,

“Jangan risau sahabat-sahabatku. Aku akan tetap mendayung sampan untuk kamu, dan aku juga akan turut sama-sama turun ke laut bersama-sama kamu..”

Pada masa yang sama, hati kecilnya turut berbisik, “Hijrah aku kali ini adalah, DARI DARATAN KE LAUTAN..!! Aku juga berharap dapat bersama-sama dengan sahabat-sahabatku ini untuk menyumbang sesuatu kepada penduduk kampung. Moga Allah perkenankan....”



~~~~~~ TAMAT ~~~~~~~

Akhir kata daripada saya,

Berubahlah jika itu yang terbaik, berubahlah kepada yang lebih baik, sentiasa 'upgrade' diri dan sayangi diri sendiri..

Jadilah seperti MUTIARA, kerana ia sedar ia cantik dan sangat bernilai, maka ia pandai melindungi diri.. dan menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya itu untuk memberi manfaat kepada orang lain... 


~~..KERANA DIRIMU BEGITU BERHARGA..~~



Tiada ulasan:

Catat Ulasan