Khamis, 17 Jun 2010

Serikandi Zaman Rasulullah : Sumber Inspirasi Serikandi Zaman Kini

Individu yang mengakui bahawa dirinya adalah Mahasiswi Islam sepatutnya memahami dengan jelas akan tujuan hidupnya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah dan meyakini bahawa syurga dan neraka adalah balasan di akhirat kelak, hasil amalan-amalan yang dilakukan di dunia. Mahasiswi Islam yang bijak berfikir dan bertindak tidak akan sama sekali tunduk kepada dakyah-dakyah si kuffar Barat yang semakin hari semakin bertambahnya kebencian mereka terhadap umat Islam. Mahasiswi Islam yang mempunyai jatidiri juga tidak mudah terpengaruh dengan budaya-budaya merepek yang dibawa oleh mereka bahkan tidak menjadikan artis, pelakon, penyanyi dan penghibur samada di luar negara mahupun di negara sendiri sebagai ikon dan idola dalam hidup mereka. Sebaliknya, yang dijadikan role-model dan ikutan itu adalah wanita-wanita Islam dan sahabat-sahabat Nabi yang sangat dikagumi keperibadian mereka.

Serikandi-serikandi yang sangat dikagumi dalam lipatan sejarah ini bukan disanjung kerana kecantikan mereka tetapi kerana keperibadian yang tinggi dan kebijaksaan yang berkualiti, kedermawanan, kerendahan diri, kesetiaan, keberanian, kekuatan, pengorbanan dan menjadi isteri-isteri yang taat dan ibu-ibu yang penyayang. Mereka diiktiraf didalam Islam bukan kerana paras rupa mereka tetapi kerana menjadi pemikir-pemikir yang hebat, cendekiawan yang hebat, pejuang-pejuang yang hebat, pensyair-pensyair yang hebat dan ahli-ahli politik yang hebat serta sebagai para pendakwah yang hebat.

Mahasiswi Islam seharusnya mencotohi ketabahan dan kesungguhan Saidatina Khadijah binti Khuwailid dalam membantu perjuangan Nabi mempertahankan dan menyebarkan Islam. Beliau tidak pernah langsung berundur dari medan perjuangan bahkan terus setia bersama Nabi dalam menegakkan Islam sehingga akhir hayatnya. Kita lihat pula bagaimana cerdas dan cerdiknya Saidatina Aisyah binti Abu Bakar. Beliau merupakan seorang wanita yang terkehadapan dalam bidang ilmu pengetahuan dan kuat hafalannya. Setelah Nabi wafat, kaum Muslimin menjadikan beliau sebagai rujukan dan tempat bertanya. Mahasiswi Islam juga sewajarnya mencontohi beliau, bukan sekadar cemerlang sahsiahnya bahkan cemerlang dalam pelajarannya.

Mahasiswi Islam juga harus berperanan sebaiknya dalam masyarakat, harus berfikiran jauh dan bijak membuat keputusan- sebagaimana Ummu Salamah yang dikisahkan dalam sirah, dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Nabi sendiri pergi mendapatkan pendapat dan buah fikiran beliau dalam menyelesaikan masalah kaum Muslimin yang tidak berpuas hati dengan butiran Perjanjian Hudaibiyah. Ternyata idea Ummu Salamah yang tepat itu dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Sebagaimana beraninya Asma’ binti Yazid menyatakan hujah dan pendapatnya, seperti itulah seharusnya Mahasiswi Islam lakukan. Berani untuk menyuarakan buah fikiran dan pendapat secara jelas bukan hanya pandai bercakap-cakap dan berbisik-bisik di belakang sahaja. Disamping hujah Asma’ yang bernas, beliau juga amat fasih bicaranya, petah lisannya serta tidak malu dan tidak gentar untuk maju ke hadapan. Keperibadian Asma’ ini wajar dijadikan contoh dalam usaha kita pada hari ini ke arah menjadikan Islam itu sebagai ad-deen dalam diri setiap individu dalam masyarakat.

Mahasiswi Islam pada hari ini juga mesti seimbang dalam lima perkara iaitu spiritual, intelektual, emosi, sosial dan tidak dilupakan fizikal. Dalam hal ini, Khaulah al-Azwar boleh dijadikan contoh. Nama beliau sangat terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanan serta ketangkasannya menunggang kuda dan bermain pedang. Dalam peperangan bersama tentera Rom, tentera Islam menyangkakan bahawa beliau adalah Khalid al-Walid dek kerana kehebatan dan ketangkasannya. Beliau juga pandai berpidato sehingga dapat membakar semangat mujahidah-mujahidah yang tertawan bersama dengannya untuk berlawan dengan pengawal-pengawal yang mengurung mereka dalam peperangan Sahura.

Terdapat ramai lagi tokoh-tokoh yang tidak disebut yang boleh dijadikan teladan. Tuntasnya, Mahasiswi Islam seharusnya faham kedatangan mereka ke kampus bukan sahaja untuk belajar tetapi mengembangkan potensi diri ke arah menjadi insan yang lebih baik. Malah Mahasiswi Islam juga perlu sedar akan besarnya peranan mereka dalam mencorakkan negara dan masyarakat kerana kalau bukan mereka, siapa lagi?

“Lembut bukan penghalang kerana yang lembut tak semestinya lemah..”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan