Ahad, 16 Januari 2011

Dari Daratan Ke Lautan : Rahmat Ujian

Setelah lama menunggu, akhirnya..........
Jom! Baca sambungan cerita..


Sambungan lepas: Tanpa sebarang amaran, tiba-tiba datang angin yang sangat kuat memukul mereka!! Dan, perancangan Allah Taala telah menetapkan. Kita hanya merancang dan menyangka, Allah jua yang mentakdirkan.

Mereka menyangka bahawa hayat mereka di dunia akan tamat pada waktu itu. Namun, angin yang mengganas tadi akhirnya berhenti dan menghilang begitu sahaja.

Dengan penuh rasa syukur dan lega, mereka menadah tangan dan mengucapkan “ALHAMDULILLAH. Terima kasih ya Allah kerana memanjangkan umur kami..!!”

“Sahabat-sahabat, itu baru ujian yang sedikit. Kalau di atas laut pun sudah diuji sebegini rupa, apatah lagi di dalam laut. Jadi, kita semua mesti KUAT!! " kata si ketua. Mereka yang lain mengangguk tanda setuju dan faham.

Perlayaran diteruskan sehinggalah tiba di tempat yang strategik. Si ketua pun memberikan arahan.

“Alhamdulillah, kita kini dah sampai di tempatnya. Ingat semua, jangan hampakan harapan penduduk kampung. Jangan pernah langsung terniat untuk patah balik kerana takut. Dan, kita sampai pada tahap ini pada hari ini pun dengan izin Allah Taala. Syukur, Dia tidak menarik nyawa kita tadi, kerana kalau tidak, tiadalah kita di sini. Maka, hargailah nikmat nyawa yang masih diberikan dengan bekerja bersungguh-sungguh semata-mata keranaNya..”

Selepas membaca doa, memohon perlindungan keselamatan dan dimudahkan segala urusan, mereka pun sama-sama menyelam ke dasar lautan. Mereka terus mengambil kedudukan masing-masing sebagaimana yang telah dirancangkan sebelum misi ini dilaksanakan. Sahabat mereka si pendayung sampan pula memerhatikan sahabat-sahabatnya dari sampan dan belajar sedikit demi sedikit teknik penyelaman yang betul, yang dilakukan oleh sahabat-sahabatnya itu. Pada masa yang sama, berusaha sedaya upaya mengawasi dan menjaga keselamatan mereka.

Lautan yang mereka selami ini sangat dalam dan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi sebelum boleh sampai ke dasar lautan. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu sentiasa berjaga-jaga dan berhati-hati dengan ancaman hidupan laut di lautan itu. Sekali mereka tersilap, nyawa mereka akan terancam.

Sambil menanti sahabat-sahabatnya selesai, si pendayung sampan ini terkenang masa silamnya. Dia teringat tentang bagaimana dia yang dahulunya sangat bersemangat hendak mencari mutiara tetapi telah lemas kerana kurang ilmu tentang cara menyelam yang betul. Dia terlalu tergopoh-gapah untuk mendapatkan mutiara. Oleh sebab itulah, dia sentiasa membakar semangat dan berpesan kepada sahabat-sahabatnya tentang peraturan dan keadaan laut, agar pencarian mereka akan membuahkan hasil dan semakin mantap.

Akhirnya, lamunannya terhenti apabila disapa oleh sahabatnya yang baru sahaja selesai mencari mutiara.

“Amboi..termenung jauh nampak..dah, cukup-cukuplah tu berangan..jom kita balik...”

“Eh, dah siap dah? Amacam? Dapat hasil..?” ujar si pendayung sampan.

“Alhamdulillah..banyak juga kita dapat hari ni..”

Mereka semua tersenyum puas.

Dalam perjalanan pulang, mereka semua seronok dan teruja menceritakan pengalaman masing-masing ketika menyelam mencari mutiara. Bertambah seronok apabila setiap seorang daripada mereka berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya sebiji mutiara. Dalam kegembiraan mereka bercerita, salah seorang daripada mereka mengingatkan,

“Sahabat-sahabat, usah terlalu gembira dengan apa yang kita peroleh hari ini. Aku sangat yakin, ada banyak lagi mutiara yang tersembunyi di dasar laut ini yang perlu kita cari..”

Mereka semua senyum tanda bersetuju dan bertekad untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk hari-hari yang akan datang.

Begitulah rutin mereka setiap hari. Semakin hari, semakin banyak mutiara yang mereka berjaya perolehi . Kualiti penyelaman mereka juga semakin mantap. Penduduk kampung berasa sangat senang hati melihat kesungguhan anak-anak muda ini kerana sanggup untuk meneruskan pekerjaan yang hampir pupus ditelan zaman. Walaubagaimanapun, lapan orang pemuda ini tidak pernah langsung berbangga diri atas kesungguhan dan kemampuan mereka itu kerana sedari awal memulakan pekerjaan ini, sudah dipasakkan dalam hati masing-masing bahawa pekerjaan yang mereka lakukan ini adalah ikhlas kerana Allah Taala dan ikhlas untuk membantu penduduk kampung.

Setiap hari mereka pergi berlapan, dan pulang juga berlapan. Namun pada suatu hari, mereka pergi ke laut hanya bertujuh. Hal ini berlarutan hampir seminggu. Mereka dimaklumkan bahawa sahabat mereka yang seorang lagi ini tidak sihat dan tidak dapat turun ke laut. Namun, si pendayung sampan tidak berpuas hati. Lalu, digerakkan hatinya oleh Allah untuk menziarahi sahabatnya itu. Setibanya dia di rumah sahabatnya itu, alangkah terkejutnya si pendayung sampan apabila  mendapati.....


Bersambung lagi...hehe...


* Alamak....bila nak habis ni..???

Tiada ulasan:

Catat Ulasan